Friday, November 21, 2008

Perpaduan Menentukan Hala Tuju Umat Islam

Tatkala saya menulis artikel, ribuan umat Islam di Palestin, Iraq dan Afghanistan sedang sengsara dengan kehidupan peperangan yang sedang mereka lalui. Lantas, saya berfikir, apakah peranan saya sebagai umat Islam dalam membantu meringankan beban umat Islam lain yang sedang dalam kesusahan. Ternyata, saya tidak mampu untuk mengubahnya seorang diri. Untuk merubah kehidupan umat Islam, saya memerlukan bantuan daripada 3 billion umat Islam yang berada di dunia ini.

Mudah sahaja, saya tidak mahu mengajak anda semua berperang atau berjihad. Tetapi saya memohon dengan rendah diri nya supaya kita semua bersatu-padu. Tidak kiralah apa jua pandangan mazhab anda, baik hambali,hanafi,maliki mahupun shafiee, kita harus bersatu. Sudah bertahun-tahun kita hidup di hina dan di caci,kini, sudah tiba masanya kita bangkit dan kembalikan saat kegemilangan umat Islam seperti mana yang pernah kita kecapi beratus-ratus tahun dahulu.

Sebelum saya pergi ke peringkat global, saya rasa adalah lebih elok jika saya menyedarkan masyarakat Islam di Malaysia terlebih dahulu. Mengapa hari ini, bangsa lain sudah berani menyuarakan pendapat mereka tanpa memikirkan sensitiviti kita sebagai umat Islam? Saya sangat bersetuju dengan YB Zulkif Nordin (MP Kulim-bandar baru) yang mengatakan setiap umat Islam perlu bersatu dalam menyelesaikan perkara ini. Beliau juga dalam wawancara dengan Mingguan Malaysia, menggesa setiap umat Islam tidak kira ahli politik atau rakyat biasa mengambil contoh dari kaum cina di Malaysia. MCA,GERAKAN dan DAP sangat-sangat bersatu dalam perkara yang membabitkan isu-isu keagamaan mereka. Namun, kita di dalam UMNO,Keadilan dan PAS masih bertekak dengan perkara-perkara yang kuno dan jumud. Tahniah YB, kerana berani menyuarakan hal ini walaupun mendapat tentangan daripada ahli PKR sendiri.

Walaupun saya tidak pernah menyokong dasar-dasar pembangkang, namun, apabila ianya membabitkan perpaduan, saya menyokong pendapat YB ini yang datangnya dari parti pembangkang. Diharap, ada juga pihak dari kerajaan yang sependapat dengan beliau. Bukannya tak pernah UMNO dan PAS bersatu, saya masih ingat dalam satu majlis yang mana UMNO dan PAS bersatu dalam hal menuntut kedamaian di Palestin. Ketika itu, saya sangat bangga apabila mantan Presiden UMNO, Tun Dr. Mahathir Mohammad, berbual mesra dan bersalaman dengan Mantan Presiden PAS, Almarhum Ust. Fadzil Nor. Ini telah menunjukkan kepada dunia, yang kita umat Islam di Malaysia sangat bersatu tanpa mengira ideologi politik, dalam hal-hal perpaduan umat Islam.

Tidak perlulah lagi kita berpolitik sangat. Sekarang sudah tiba masanya kita duduk semeja dan berbincang dalam mengembalikan perpaduan dikalangan umat Islam di negara kita. Bila sebut perpaduan, bukanlah maksudnya saya menggesa PAS dan UMNO bergabung, tetapi lebih kepada hanya menjadi check and balance. PAS boleh menegur UMNO dgn cara yang molek, dan begitu juga sebaliknya. Maka saya berpendapat, kalau itu lah yang terjadi, cara Malaysia ini akan menjadi contoh kepada negara Islam yang lain. Kita secara tidak langsung akan menyebabkan perpaduan ummah di seluruh dunia. InsyaAllah....

P/s: AL-FATIHAH kepada Ayahanda saya, Salehuden Hj Yahaya, Tengku Abdul Rahman, Tun Abdul Razak Hussein,Tun Hussein Onn, Tun Ghaffar Baba, Syed Hussein Al-attas dan Al-Marhum Ust. Fadzil Noor, bekas Presiden PAS serta seluruh muslimin dan muslimat yang telah kembali ke Rahmatullah. Semoga roh mereka di tempatkan ditempat orang-orang beriman. Amin...

No comments: