Sunday, August 28, 2011

Kenakan Tindakan Undang-Undang Terhadap Mat Sabu

Kontroversi yang ditimbulkan oleh Mat Sabu dalam arena poltik negara bukanlah sesuatu yang baru. Beliau yang merupakan 'orang nombor dua' dalam parti politik kedua terbesar buat orang orang Melayu itu sebelum ini telah berkali-kali mencetuskan kontroversi di negara ini. Tidak keterlaluan jika kita katakan, Mat Sabu lebih dikenali dengan kontroversi yang dicetusnya berbanding kredibiliti beliau sebagai seorang pemimpin.

Antara kontroversi besar yang pernah dicetuskan oleh Mat Sabu adalah semasa berita beliau ditahan oleh Penguatkuasa Jabatan Agama Islam ketika sedang berkhalwat bersama pasangannya di sebuah hotel terkemuka di Kelantan. Itu cerita dulu. Masa berita itu heboh dilaporkan, saya masih berada di sekoah rendah. Waktu itu saya tidak tahu sama ada Mat Sabu bersalah atau tidak, kerana pada saya apa yang dibuat oleh penguatkuasa semestinya sesuatu tindakan yang tidak boleh kita pertikaikan.

Dua bulan lalu, iaitu pada bulan Julai selepas berlakunya perhimpunan haram, Bersih 2.0 Mat Sabu sekali lagi mencetuskan kontroversi apabila menuduh polis telah melanggarnya hingga menyebabkan kakinya mengalami kecederaan yang serius. Akibat kejadian itu, Mat Sabu terpaksa berkerusi roda ke hulu dan ke hilir kerana mendakwa berada dalam kesakitan yang amat sangat.

Namun, beberapa hari selepas itu, pihak polis menafikan dakwaan Mat Sabu itu dan telah mengemukakan bukti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang menunjukkan beliau tidak dilanggar oleh mana-mana anggota polis. Sebaliknya beliau terjatuh sendiri, ketika cuba melarikan diri dari dikejar pihak polis kerana terlibat dalam perhimpunan haram tersebut.

Begitulah Mat Sabu, penuh dengan kontroversi dan lakonan sebagai strategi beliau untuk mencetuskan satu persepsi baik agar rakyat simpati dan sekali gus akan memberi undi kepadanya dan parti beliau setiap kali tibanya musim pilihan raya.

Paling terbaru, Mat Sabu seperti kebiasaannya mencetuskan satu kontroversi baru apabila mendakwa anggota polis dan ahli keluarga mereka yang gugur dalam Tragedi Bukit Kepong yang berlaku pada 1950 lalu tidak layak digelar sebagai hero. Kata Mat Sabu, kesemua mereka yang terkorban dan dibunuh kejam itu adalah pegawai yang dilantik British dan seolah-olah menuduh mereka sebagai tali barut kepada penjajah.

Malah, Mat Sabu mendakwa lelaki berbangsa Melayu, Muhammad Indera, yang dihukum bunuh kerana bersengkongkol dengan Goh Peg Tun dan lebih 200 anggota komunis yang menyerang Balai Polis Bukit Kepong adalah hero sebenar dan sepatutnya diangkat sebagai wira negara.

Kenyataan kontroversi yang dicetuskan oleh Mat Sabu kali ini agak melampau dan sukar untuk dimaafkan. Beliau tidak sensitif kepada perasaan pejuang-pejuang kita terdahulu yang berhempas-pulas bergadai nyawa untuk menentang komunis yang bertindak kejam kepada rakyat di negara ini ketika itu.

Peristiwa di Balai Polis Bukit Kepong itu sudah cukup menceritakan mengenai kekejaman komunis. Ini terbukti apabila ada sebahagian daripada 25 anggota polis dan ahli keluarga mereka dicampak hidup-hidup ke dalam unggun api dan dibiarkan mayat mereka hangus ketika mempertahankan balai berkenaan daripada diceroboh rejim komunis.


Kesedihan dan amarah yang ditunjukkan oleh Wira Negara, Pegawai Waran I (B) Temenggong Kanang Langkau seperti yang dilaporkan oleh Utusan Malaysia ketika membaca laporan berita mengenai kenyataan Mat Sabu itu membuktikan bahawa ia sebagai sesuatu yang nampak seperti mustahil untuk dimaafkan!

Tidak ada siapa pun yang boleh mempertikaikan kemarahan dan kesedihan Kanang itu kerana beliau juga adalah penentang komunis di Perak sekitar 1980 sehingga hampir menemui ajal selepas peluru musuh mengenai jantung merosakkan satu buah pinggangnya, terburai usus perut dan terlantar di hospital selama 14 bulan.

Kanang yang merupakan satu-satunya penerima dua pingat keperwiraan yang masih hidup iaitu Seri Pahlawan Gagah Perkasa (SP) dan Panglima Gagah Berani (PGB) mahu Mat Sabu ditahan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kerana keceluparannya.

Saya 100 peratus bersetuju dengan cadangan Kanang itu dan berharap, kerajaan bertegas dalam mengendalikan hal ini supaya kejadian menghina sejarah dan pejuang kemerdekaan ini tidak lagi berlaku di masa hadapan. Ia penting kerana perkara sebegini boleh memecah-belahkan rakyat Malaysia hingga menimbulkan keadaan huru-hara di negara ini.

Sekiranya kerajaan benar-benar menghargai jasa pahlawan negara, saya menggesa pihak kerajaan supaya mengenakan tindakan tegas kepada Mat Sabu dan kepada sesiapa sahaja yang mempertikaikan jasa dan pengorbanan pahlawan serta wira negara dalam usaha mereka menentang penjajah.

Kerajaan perlu berani dalam mengenakan tindakan kepada sesiapa sahaja, baik rayat biasa mahupun Ahli Parlimen serta pemimpin pembangkang sekiranya mereka didapati tidak menghormati sejarah di negara yang kita cintai ini. Selain menggunakan ISA, negara kita ada banyak lagi akta yang sesuai dan boleh dikenakan terhadap Mat Sabu kerana 'jenayah' yang beliau lakukan.

Jika tiada sebarang tindakan diambil oleh kerajaan terhadap Mat Sabu, saya yakin kredibiliti kerajaan akan dipandang serong oleh ahli keluarga mereka yang pernah berjuang mempertahankan negara serta majoriti rakyat Malaysia yang menolak Mat Sabu kerana dilihat terlalu tunduk serta takut kepada pembangkang sehingga tidak mampu mempertahankan pahlawan negara daripada dihina dan dicaci.

Moga Allah merahmati pahlawan negara yang telah gugur ketika mempertahankan negara dan diharapkan roh mereka ditempatkan bersama-sama orang beriman.