Sunday, April 27, 2008

Merdekakan Ilmu Dari Jajahan Undang-Undang !

Bagi pekerja-pekerja di Malaysia, baik yang profesional mahupun tidak profesional, hari ahad adalah hari rehat mereka. Namun, tidak bagi kebanyakan mahasiswa. Hari Ahad adalah hari untuk mereka menyiapkan semua 'assignment' ataupun 'tutorial' yang diberi pensyarah untuk mereka. Mungkin akan ada yang tertanya-tanya, kalau Ahad adalah hari membuat 'assignment' mengapa saya sibuk pulak menulis blog? Sebenarnya saya sedang mencari sumber-sumber untuk 'assignment' saya di dalam internet.

Sebagai pelajar undang-undang, kebiasaanya, sumber yang dicari internet adalah kes-kes terdahulu yang telah di putuskan mahkamah. Ini adalah untuk rujukan kami untuk
mengaplikasikan undang-undang sedia ada. Mungkin kerana terlalu penat berada di depan
komputer, menyebabkan saya cepat bosan lalu menyebabkan saya merayau-rayau dalam
internet.

Kerana itu lah, blog saya nampak cantik dengan warna biru yang menenangkan ini. Saya
mungkin terkenal dikalangan sahabat-sahabat saya sebagai seorang yang dikatakan buta I.T, namun, saya terus belajar untuk mempertingkatkan ilmu I.T saya.

Mungkin ilmu I.T yang saya dapat hari ini tidaklah berapa hebat seperti mana kawan-kawan saya yang lain, namun, saya akan terus mencari ! Nabi S.A.W pun pernah menasihati umatnya, " Tuntutlah ilmu hingga ke negeri China". Dengan nasihat Baginda itulah, menyebabkan saya terus kuat untuk menuntut ilmu, walaupun, pada usia sebegini, sepatutnya saya sudah bekerja !

Menuntut ilmu bukan sekadar menuntut ilmu yang ada di dalam buku. Kata Y.Bhg Dato' Dr. Fadhilah Kamsah, ilmu ada di sekeliling kita, cuma kita sedar atau tidak tentang kewujudan ilmu ini. Memetik kata-kata pakar motivasi ini, saya berpendapat, untuk menuntut ilmu, kita tidak sepatutnya diberi kongkongan ! Namun, senario di negara kita agak berbeza dengan apa yang dipraktikkan di negara lain. Mahasiswa di kongkong dengan dengan peraturan-peraturan yang termaktub di dalam Akta Unversiti dan Kolej Univesiti 1971 (AUKU).

Kadang-kadang, satu persoalan timbul di kalangan pelajar, apakah mahasiswa di Malaysia tidak cukup matang untuk berdiri di kaki sendiri tanpa sebarang kongkongan? Saya hanya cuba memberi pendapat saya tentang Akta ini didalam konteks dunia yang semakin moden. Di dalam dunia moden kini, AUKU tidak lagi sesuai di praktikkan kerana ada sesetengah nya menafikan hak-hak pelajar untuk bersuara. Ini jelas dapat dirujuk dalam Seksyen 15 (3) AUKU 1971, yang menyatakan, mana-mana pelajar tidak dibenarkan untuk menyuarakan sokongan, simpati atau bangkangan kepada mana-mana parti politik. Apakah ini peraturan ini masih sesuai di aplikasikan dalam dunia tanpa sepadan kini? Fikirlah....

Saya tidak langsung berniat untuk menyokong, bersimpati ataupun membangkang akta ini, tetapi cuma mahu mengajak sahabat mahasiswa dan pihak berwajib memikirkan tentang keberkesanan akta ini. Kalau kita tidak dibenarkan untuk menyuarakan pendapat, bagaimana kita mahu mengundi parti pilihan kita setiap kali pilihanraya? Majoriti mahasiswa di Malaysia adalah berada pada umur layak mengundi. Jadi, tidak hairan lah mengapa Mahasiswa sekarang tidak mahu mendaftar diri mereka sebai pemilih di SPR. Buat apa mahu undi kalau kita langsung tidak ada tempat untuk menyuarakan pendapat?

Sebelum saya menyambung semula "assignment" saya, saya ingin mengajak semua pihak untuk memikirkan tentang keberkesanan AUKU ini. Saya tidak mahu menjadi seperti Dato; Seri Anwar Ibrahim, terpekik terlolong mahukan AUKU di hapuskan, tetapi semasa beliau memegang portfolio pendidikan, tidak pula AUKU dihapuskan. Sahabat sekalian, fikir-fikirkan lah. Saya ikhlas, langsung tidak ada agenda tersembunyi. Percayalah, mahasiswa perlukan sokongan, bukan kongkongan !

No comments: