Tuesday, September 2, 2008

Merdeka: Perpaduan Asas Kejayaan

\

Pada 31 Ogos setiap tahun, seluruh warga Malaysia akan menyambut hari kemerdekaan negara. Kini, sudah 51 tahun kita meraikan perayaan ini, yang mana pada tarikh yang sama 51 tahun lepas, kita bebas dari jajahan regim-regim penjajah.

Tidak dapat saya bayangkan bagaimana pejuang-pejuang kita terdahulu, berhempas pulas menentang penjajah. Apa yang menyebabkan saya bangga adalah, kemerdekaan kita dikecapi dengan penuh diplomasi. Tidak ada keganasan digunakan tapi perbincangan yang dilaksanakan. Memilih cara yang lebih berdamai adalah satu ajaran Islam. Tahniah kepada wira-wira kemerdekaan kita.

Alhamdulillah, sehingga ke hari ini, kita berjaya mentadbir negara kita dengan acuan pentadbiran kita sendiri. Kita bebas dalam membuat segala keputusan. Saya sangat bersyukur menjadi rakyat Malaysia kerana kita hidup aman dan damai walaupun Malaysia terdiri daripada pelbagai kaum.

Tidak dinafikan ada juga anasir-anasir yang cuba merosakkan keharmonian kaum di negara kita yang tercinta ini. Namun, mereka ini adalah kelompok yang sangat kecil ! Tugas kita sebagai masyarakat Malaysia yang prihatin adalah untuk menentang pihak-pihak yang cuba merampas keharmonian kaum yang sedang kita kecapi ini.

Kalau kita lihat pada sejarah, semasa meperjuangkan kemerdekaan satu ketika dahulu, masyarakat Malaysia yang terdiri daripada orang Melayu, Cina dan India bersatu-padu dalam menentang penjajahan di negara ini. Budi mereka yang ikhlas dalam menentang penjajahan ini hanya dapat dibayar dengan mempertahankan kemerdekaan sedia ada. Jangan kita hancurkannya ! Kalau dulu pejuang-pejuang seperti Dato' Onn Jaafar, Tengku Abdul Rahman, Tun Tan Cheng Lock, Tun Sambanthan dan banyak lagi perjuang-perjuang sanggup bergadai nyawa dan bersatu untuk negara, mengapa kita tidak boleh? Tepuk dada tanya selera.

Wira-wira kita yang disebutkan tadi telah mendapat satu formula dalam membentuk kerajaan di negara kita iaitu formula perpaduan. Mereka yakin jika setiap kaum di Negara kita ketika itu dapat bersatu, maka tidak menjadi masalah untuk sebuah negara merdeka diwujudkan. Ternyata formula itu berjaya ! Bukti nya, hari ini kita berjaya menjadi Bangsa Malaysia yang terkenal di seluruh dunia.

Sesuai dengan tema kemerdekaan kita tahun ini iaitu "Perpaduan asas Kejayaan", marilah kita sama-sama renungkan apakah pengorbanan kita sebagai rakyat Malaysia dalam mengekalkan perpaduan di negara ini? Janganlah kita melukakan hati sahabat kita yang datangnya dari pelbagai warna kulit. Nasihat saya, pertahankan lah hak kita, pada masa yang sama jangan kita nafikan hak mereka sebagai rakyat Malaysia. Orang Melayu yang beragama Islam, perlu merenung dan megambil iktibar bagaimana Rasulullah sendiri mendidik kita untuk menghormati masyarakat bukan Islam. Renung-renungkanlah dan sama-samalah kita doa untuk kesejahteraan negara kita supaya kemerdekaan ini akan kekal selama-lamanya. Jadikan lah iktibar tragedi 13 Mei kerana saya pasti setiap rakyat Malaysia tidak mahu perkara yang sama berulang kembali. Akhir kata, sekali lagi saya ingin mengingatkan, hormatilah kawan-kawan kita dari pelbagai kaum dan kekalkanlah perpaduan di negara kita. Kerana saya yakin perpaduan adalah asas kejayaan...

SELAMAT HARI MERDEKA !!!!!!!

No comments: